Followers

February 02, 2012

Sasar 20 negara inovatif terbaik

MALAYSIA menyasarkan untuk disenaraikan antara 20 negara inovatif terbaik dalam bidang reka bentuk bagi tempoh 10 tahun akan datang menerusi inisiatif anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu Pusat Pembangunan Reka Bentuk Sdn Bhd (DDEC).

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata tempoh terbabit ialah sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI), namun pihaknya akan berusaha meletakkan Malaysia dalam senarai berkenaan untuk tempoh lebih awal daripada jangkaan.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya akan mengkaji semula peruntukan sedia ada dan mengenal pasti strategi terbaik mencapai sasaran berkenaan.

"Negara kini menduduki tempat keenam peringkat Asia Tenggara dalam bidang ini dan yakin DDEC mampu membantu kedudukan Malaysia sebagai negara inovatif dalam tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Tahun Reka Bentuk Malaysia (MDY) 2012. Hadir sama Pengerusi DDEC, Datuk Md Othman Yusuf dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Idris berkata, dalam bajet lalu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi menggalakkan inovasi dan komersial, namun pihaknya percaya dalam hal ini peruntukan berkenaan boleh dikaji semula.

Katanya, MDY 2012 ialah program julung kali anjuran DDEC dan akan diadakan setiap bulan.

Pengisian program merangkumi seminar, persidangan, ekspo dan pertandingan bukan membabitkan penggiat industri reka bentuk. Penganjur turut menjemput pelajar kolej antaranya Kolej Kemahiran Tinggi MARA, dan Institut Kemahiran MARA.

"Program bertujuan meningkatkan kualiti penjenamaan produk supaya lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

"Selain itu, ia menggalakkan penjanaan dan perkongsian ilmu berkaitan industri reka bentuk antara penggiat industri reka bentuk tempatan dan antarabangsa," katanya.

Dipetik daripada Berita Harian 02/02/2012

No comments: