Followers

February 21, 2012

Pesara kerajaan dinasihatkan sertai Kupekmas


PUTRAJAYA 20 Feb. - Bekas kakitangan awam dinasihatkan tidak melepaskan peluang menyertai Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) Kerajaan Malaysia (Kupekmas) agar kebajikan mereka dapat terus dipelihara.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Abdul Rahman Manan berkata, penyertaan dalam Kupekmas juga secara tidak langsung dapat mengekalkan hubungan yang harmoni antara kelab dengan kerajaan.

"Pihak kelab akan berusaha mendapatkan peruntukan dan dana daripada kerajaan untuk memberi faedah kebajikan seperti sakit kritikal, kemalangan serius yang dialami oleh ahli dan keluarga peserta.

"Selain itu, kelab ini akan memberi khidmat nasihat kepada ahli yang menghadapi masalah dengan pihak kerajaan atau pihak berkuasa lain berkaitan hal persaraan, kebajikan, kemudahan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Kunjung Hormat Kupekmas dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan penaung kelab itu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman merangkap Presiden Kupekmas.

Abdul Rahman berkata, dalam pertemuan itu, Dr. Mahathir menyatakan kebimbangan terdapat perpecahan di kalangan masyarakat Melayu sejak kebelakangan ini disebabkan fahaman politik yang berbeza.

"Tun berpesan supaya kami bekerjasama memberi sokongan kepada UMNO melalui penubuhan kelab yang menghimpunkan pesara terutama bekas pegawai kerajaan bagi membantu menarik pesara bersama dengan UMNO," katanya.

Beliau memberitahu, kelab tersebut telah diluluskan pendaftarannya pada 28 Oktober tahun lalu.

"Kami menyasarkan keahlian daripada 500,000 pesara kakitangan awam buat masa ini dan turut menerima ahli bersekutu daipada pesara kaum lain.

"Sebarang pertanyaan boleh diajukan di talian 03-2284 0548," katanya.

Dipetik daripada Utusan Malaysia 21/02/2012

No comments: