Followers

February 23, 2012

MARA salur RM50 juta dana UK

MARA yang menubuhkan dana Usahawan Kecil (UK) Dinamik dengan dana RM50 juta, sudah menyalurkan RM15 juta kepada lebih 1,000 usahawan kecil dan penjaja untuk mengembangkan perniagaan, sejak tiga bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata dana RM50 juta itu dijangka dapat memberi manfaat kepada sejumlah 10,000 usahawan kecil terutama di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Katanya, ia adalah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil Bumiputera.

"Kita menyasarkan setiap negeri akan menerima RM5 juta untuk disalurkan kepada golongan peniaga kecil dan penjaja ini.

Sebenarnya, MARA sudah lama tidak memberi tumpuan kepada pinjaman berskala kecil iaitu di bawah RM50,000, sebaliknya banyak memberi tumpuan kepada pinjaman bernilai tinggi kerana tidak mahu bersaing dengan agensi kerajaan lain yang mengeluarkan pinjaman seumpamanya.

"Bagaimanapun, kita banyak menerima rungutan penjaja kecil yang menghadapi kekangan akses kepada modal dan pelbagai kesukaran lain seperti lokasi perniagaan yang baik dan fasiliti perniagaan.

"Oleh itu, kita melihat ada keperluan untuk kembali menyalurkan pinjaman bagi peniaga kecil dan untuk itu kita lancarkan UK Dinamik dan mereka yang memerlukan pinjaman boleh membuat permohonan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program UK Dinamik dan menyampaikan replika cek pinjaman berkenaan bernilai RM1.05 juta kepada MARA Terengganu untuk diagihkan kepada 139 penerima di negeri itu.

Idris berkata, melalui skim pinjaman itu, peminjam dibenarkan memohon pinjaman tanpa cagaran dan kadar faedah sehingga maksimum RM10,000, dengan bayaran balik setiap dua minggu sekali sepanjang dua tahun.

"Kita berharap pinjaman disediakan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil yang menerimanya. MARA akan memantau program ini untuk melihat kejayaan usahawan dan seterusnya memberi khidmat nasihat dan bantuan untuk membantu memajukan perniagaan mereka," katanya.

Hadir sama, Pengarah MARA Terengganu, Abdullah Muhammad dan Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan MARA, Yahya Ibrahim.

Dipetik daripada 23/02/2012

No comments: