Followers

February 09, 2012

CUEPACS bentang kertas cadangan SBPA 22 Februari

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dijadual membentangkan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada mesyuarat ketiga pasukan itu dijadualkan 22 Februari ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata kertas cadangan sengan komprehensif itu yang disediakan Jawatankuasa Bertindak SBPA yang diwujudkan khas oleh CUEPACS, dijangka siap sepenuhnya sebelum tarikh mesyuarat berkenaan.

"Selepas pembentangan itu baru kita dapat memberikan gambaran awal sama ada semua tuntutan penjawat awam berhubung SBPA dapat ditunaikan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat kedua pasukan petugas khas di sini, semalam.

Beliau berkata, tiada perkara baru yang dibincangkan pada mesyuarat semalam dan hanya meneruskan agenda mesyuarat pertama selain menumpukan kepada lima tuntutan yang dikemukakan CUEPACS sebelum ini.

Lima tuntutan CUEPACS itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hinga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

"Sebab itu mesyuarat tidak bangkitkan isu baru dan hanya tumpukan kepada lima tuntutan itu dengan harapan segala perbincangan mengenainya dapat diselesaikan lebih awal dan tidak perlu berlanjutan sehingga tiga bulan," katanya.

Pada masa sama, Omar turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan persetujuan kerajaan membenarkan tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu untuk menganggotai pasukan petugas khas itu.

Dipetik dari Berita Harian 09/02/2012

No comments: