Followers

February 24, 2012

PM umum keputusan penting

PUTRAJAYA : Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan satu keputusan penting dalam tempoh terdekat, yang disifatkan CUEPACS memberi keadilan kepada kira-kira 1.4 juta kakitangan awam, termasuk berkaitan isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang kini menimbulkan kontroversi.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata perkara itu dinyatakan Perdana Menteri dalam pertemuan selama 45 minit dengan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hasan, di Pejabat Perdana Menteri di sini, petang semalam.

Beliau berkata, pertemuan itu tidak menjurus khusus kepada isu SBPA, sebaliknya mencakupi soal kepentingan penjawat awam secara umum.

Katanya, dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menunjukkan keprihatinan terhadap nasib kakitangan awam dan pengumuman yang dijangka dibuatnya sebelum 12 Mac ini, akan memberi kebaikan kepada kakitangan awam dalam semua peringkat.

"Dalam pertemuan tadi (semalam), kita juga memberi maklum balas kakitangan awam yang diterima CUEPACS dalam jelajah seluruh negara berhubung pelbagai isu termasuk SBPA.

"Ia satu mesyuarat harmoni dan ceria, Perdana Menteri prihatin dan akan membuat keputusan lebih baik untuk kebaikan semua peringkat kakitangan awam dalam tempoh terdekat.

"Apa keputusan itu, terserah kepada Perdana Menteri. CUEPACS akan menghormati sebarang keputusan diumumkan Perdana Menteri selaku pemimpin yang kita hormati," katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu.

Omar berkata, satu perhimpunan khas dijangka dihadiri 15,000 kakitangan awam akan diadakan di Stadium Bukit Jalil bagi menyatakan sokongan terhadap pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri itu.

Katanya, Perdana Menteri juga dijangka turut menghadiri perhimpunan itu.

Ditanya sama ada pengumuman itu akan turut menggembirakan penjawat awam, Omar berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman Perdana Menteri tetapi beliau 'berpuas hati' dengan perbincangan itu.

"Kita tunggu.... itu keputusan kerajaan, ini satu rundingan baik dan kerajaan akan membuat keputusan itu dalam masa terdekat, jika saya beritahu nanti, seolah-olah saya tidak hormati Perdana Menteri.

"Malah, CUEPACS pun belum tahu lagi keputusan itu, tetapi Perdana Menteri memberi gambaran dan kita rasa ia satu gambaran baik dan kita harap semua sabar menunggu dalam tempoh terdekat penjelasan dan kenyataan," katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan CUEPACS menuntut kenaikan gaji kakitangan awam gred 54 dan ke bawah antara RM700 sehingga RM2,500 menerusi Skim Saraan Malaysia (SSM) aebelum kerajaan melaksanakan pembaharuan skim SBPA.

SBPA yang dilaksanakan 1 Januari lalu, mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk CUEPACS sehingga menyebabkan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas menyemak semula skim berkenaan yang mengambil kira prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Dipetik daripada Berita Harian 24/02/2012

No comments: