Followers

April 25, 2012

Manifesto khas untuk Kelantan


TUMPAT : Barisan Nasional (BN) akan menyediakan manifesto pilihan raya khas untuk Kelantan, yang mengandungi janji 'hitam putih' bakal dikotakan jika negeri ini diterajui kembali BN, kata Tan Sri MuhyiddinYassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, manifesto itu akan diperincikan dengan mengambil kira semua kehendak rakyat Kelantan, yang gagal dilaksanakan PAS sejak memerintah negeri ini pada 1990.

"Kita akan bincang setiap perkara (untuk dimasukkan dalam manifesto). Manifesto ini secara hitam putihnya yang akan BN laksanakan bila menang di Kelantan.

"Ini tidak seperti manifesto pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak pernah lakukan apa yang dijanjikan itu," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, warga pendidik, anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta timbanlannya yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin mengumumkan sumbangan sebanyak RM75,000 untuk RELA, SRS (RM50,000), Permuafakatan Guru-Guru Parlimen Tumpat (RM30,000) dan RM300,000 kepada SMK Cabang Empat untuk menaik taraf padang sekolah berkenaan.

Muhyiddin berkata, manifesto itu BN akan memastikan perkara asas yang diperlukan rakyat Kelantan antaranya seperti air serta tanah dapat diatasi, bukannya sekadar janji sebagai manifesto PAS.

Sementara itu ketika mengunjungi pondok Geting dekat sini, Muhyiddin berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dalam membangunkan sistem pendidikan pondok di negara ini.

Sehubungan itu, Kerajaan Pusat memberi sumbangan sebanyak RM500,000 kepada lima pondok di negeri ini dengan masing-masing akan menerima RM100,000 untuk pembangunan pondok serta pendidikan Islam.

"Kerajaan Pusat berkarap guru pondok mampu memainkan peranannya dalam meningkatkan perpaduan di kalangan umat islam di negara ini walaupun ada yang berlainan politik.

"Melalui sumbangan ini, Kerajaan Pusat berharap keadaan pondok tempat pengajian Islam mampu dinaikkan taraf dengan membesarkan lagi kawasannya selain meningkatkan peranan dalam mengembangkan agama islan," katanya.

Justeru itu, Muhyiddin berkata, umat islam perlu memberi tumpuan kepada perpaduan ummah dengan menghindarkan daripada perbuatan yang membawa kepada perpecahan.

Beliau berkata, walaupun wujud pandangan politik yang berbeza tetapi dalam soal agama dan penyatuan ummah perlu diutamakan oleh seluruh masyarakat Islam.

"Peranan tok guru di pondok-pondok amat kita hargai kerana ia penting untuk menyebarluaskan pendidikan Islam yang memang mementingkan perpaduan, selain hubungan baik dan menentukan pembangunan masa depan umat Islam di negara ini," katanya.

Dipetik daripada Berita Harian 25/04/2012


No comments: