Followers

April 06, 2012

Pelajar Orang Asli azam ubah nasib


KUALA PILAH : Keinginan untuk mengubah nasib keluarga mendorong seorang pelajar Orang Asli di Tanjung Ipoh dekat sini, belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Shahrulazri Sibok, 18, yang memperoleh 10A, mahu membawa keluarganya keluar dari belenggu kemiskinan memandangkan bapanya, Sibok Kasin, 42, hanya bekerja penoreh getah.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia sudah bersedia menyambung pelajaran dengan memohon tempat di beberapa universiti tempatan dan program matrikulasi.

"Jika ada peluang, saya berhasrat menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang kejuruteraan," katanya selepas menerima sumbangan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Seminar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) bersama guru kaunseling, pemimpin belia dan pelajar luar bandar di sini.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mersing, Johor itu berkata, ketika ini dia menolong bapanya menoreh getah bagi mengumpul wang untuk menyambung pelajaran nanti.

Ibunya, Aida Buncul, 41, pula berkata mereka yang tinggal di Kampung Orang Asli Langkap, meletakkan harapan tinggi terhadap anak lelakinya bagi mengubah nasib keluarga.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Orang Asli, Nurul Zahira Zailan, 18, dari kampung Air Lerek, Johol, berkata beliau yang memperoleh keputusan SPM 8A, 1B dan 1C, berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap, berkata bidang itu dipilih kerana yakin kerjaya dalam bidang perakaunan mampu membantu keluarganya.

"Sebagai anak sulung, saya akan menjadi contoh kepada dua adik yang masih belajar. Saya yakin, hanya pelajaran mampu mengubah masa depan kami sekeluarga," katanya.

Nurul Zahira berkata, dia kini memberi tuisyen kepada beberapa anak jirannya, sekali gus memberi motivasi kepada mereka supaya berjaya dalam pelajaran.

Dipetik dari Berita Harian 06/04/2012

No comments: