Followers

May 02, 2012

Peniaga kurang peka UK Dinamik

MERLIMAU: Hanya 70 peniaga dan penjaja kecil di negeri ini memanfaatkan kemudahan pinjaman Skim Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak September tahun lalu.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil negeri, Ahmad Sujan, berkata peniaga dan penjaja kecil masih kurang peka dengan kewujudan pinjaman berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan terbabit memanfaatkan kemudahan pinjaman itu bagi meningkatkan pendapatan mereka.

"UK Dinamik adalah satu daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil di negara ini yang diperkenalkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan dana khas berjumlah RM50 juta.

"Peruntukan ini disalurkan dalam bentuk skim pinjaman dan dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Persatuan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (PPPKM),: katanya ketika mengadakan pertemuan dengan peniaga kecil membabitkan kawasan Telok Emas dan Merlimau di Bilik Gerakan PPPKM Cawangan Merlimau di sini, kelmarin.

Beliau berkata, skim itu menawarkan pinjaman antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada usahawan kecil, khususnya kalangan peniaga dan penjaja di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, program terbabit juga menawarkan skim pembiayaan Islam berkonsepkan kebajikan tanpa caj keuntungan dengan tempoh bayaran balik selama dua tahun.

"Pinjaman ini diperkenalkan sebagai satu daripada usaha kerajaan menaikkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, khususnya di kalangan penjaja dan peniaga kecil.

"Saya berharap peniaga dapat merebut peluang ini sebaiknya dan dapat menghubungi pengerusi persatuan penjaja di kawasan masing-masing untuk keterangan lanjut," katanya setakat ini terdapat kira-kira 5,000 peniaga dan penjaja kecil yang berdaftar di bawah PPPKM negeri.

Bagi peniaga di kawasan Bandaraya Melaka mereka boleh menghubungi pengerusi kawasan itu, Jamaluddin Ahmad, Rujahan Sidek (Banda Hilir), Baharudin Tahir (Alor Gajah), Hamdan Mohd Sharif (Jasin) dan Ali Md Yatim (Masjid Tanah).

Dipetik daripada Berita Harian 02/05/2012

No comments: