Followers

May 21, 2012

PUAM, MARA anjur kursus haji percuma di Anggerik Mall

SHAH ALAM : Pelbagai usaha dilakukan bagi mempromosi kompleks perniagaan Anggerik Mall, di sini, yang menjadi antara lubuk peniaga Bumiputera terbesar di bandar raya ini.

Terbaru, Persatuan Usahawan Anggerik Mall (PUAM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor dengan kerjasama syarikat pengurusan haji dan umrah, Barakah Umhaj Travel & Tours Sdn Bhd, berganding bahu menganjurkan kursus haji secara percuma.

Kursus khas yang dikendalikan beberapa penceramah berpengalaman berlangsung di ruang legar kompleks beli-belah berkenanaan sejak tiga bulan lalu dan kini memasuki siri ke-14.

Pengurus Barakah Umhaj Travel & Tours, Zakaria Mat Ali, berkata kursus percuma itu bertujuan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang membeli-belah di kompleks yang menawarkan puluhan ruang niaga, selepas sebelum ini dilaporkan sepi berbanding kompleks beli-belah lain.

Katanya, sambutan orang ramai selepas 14 siri kursus percuma itu diadakan amat menggalakkan sekali gus membantu merancakkan lagi urusan perniagaan di kompleks berkenaan.

"Ini antara tanggungjawab sosial kami dengan kerjasama PUAM dan MARA bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke sini.

"Setakat ini sambutan diberikan amat menggalakkan dan kami berbangga kerana dapat membantu secara tidak langsung dalam mempromosi perniagaan di sini," katanya ketika ditemui Sentral.

Beliau berkata, kursus itu terbuka kepada semua umat Islam dan diadakan setiap Sabtu bermula jam 3 hingga 5 petang setiap minggu.

Mereka yang berminat mengikuti kursus itu boleh menghubungi Zakaria menerusi talian 012-3045456 atau 03-55138254.

No comments: