Followers

November 21, 2011

MARA optimis tingkat ekuiti Bumiputera 30 peratus

JOHOR BAHRU : Majlis Amanah Rakyat (MARA) optimis dapat menyumbang kepada peningkatan ekuiti pemilikan Bumiputera kepada sebanyak 30 peratus menjelang 2020 menerusi penganjuran pelbagai program keusahawanan.

Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Rosdi Ismail, berkata antara program dilaksanakan termasuk membangunkan modal insan kreatif dan inovatif selain memberi pendedahan dalam pengurusan perniagaan yang berdaya saing serta berdaya maju.

Beliau bagaimanapun berkata, usahawan Bumiputera perlu berusaha mengubah sikap berpuak dan suka berpolitik bagi mengelak ketirisan yang hanya merugikan mereka.

"Usahawan Bumiputera perlu melakukan anjakan paradigma dan perubahan sikap bagi memastikan peruntukan diberi tidak mengalami ketirisan dan boleh sampai kepada golongan sasaran dengan mewujudkan muafakat dikalangan usahawan Melayu dan mengurangkan jurang antara mereka.

"Berdasarkan perangkaan Unit Perancang Ekonomi (EPU), ekuiti pemilikan Bumiputera setakat ini hanya 19.8 peratus dan jumlah itu masih lagi jauh berbanding sasaran ditetapkan menjelang 2020,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Keusahawanan MARA (Pendidikan dan Kerjaya) di Plaza Larkin di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah MARA Johor, Razali Nurdad.

Rosdi berkata, MARA juga sedang rancak melahirkan usahawan berstatus jutawan dalam tempoh lima tahun akan datang selain mengukuh dan memantapkan usahawan baru yang memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan.

"Kita mensasarkan seramai 100 usahawan jutawan dalam tempoh setahun yang mempunyai pendapatan syarikat tidak kurang RM4 juta setahun. Oleh itu, MARA bermatlamat menyebarluaskan rangkaian jaringan dan kolaborasi perniagaan dengan jabatan dan agensi kerajaan, industri dan komuniti setempat.

"Bagi merealisasikan cita-cita ini, sektor pendidikan khusus dalam bidang keusahawanan juga memainkan peranan penting supaya usahawan baru dapat melangkah ke tahap yang lebih tinggi,"katanya.

Dipetik dari Berita Harian 21/11/2011

No comments: