Followers

November 10, 2011

IKM-KKTM sasar institusi kemahiran kelas pertama

INSTITUT Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) akan membuat penjenamaan semula untuk mengangkat institusi terbabit sebagai institusi kemahiran kelas pertama sekali gus pengeluar utama tenaga mahir dan profesional di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Abd Rahim Abd Ghani berkata, mengikut penjenamaan semula itu, IKM mampu manarik pelajar lulusan cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan di IKM.

Beliau berkata, sebelum ini IKM MARA dilihat sebagai institusi kelas kedua kepada pelajar yang gagah memasuki pusat pengajian tinggi dan politeknik.

Katanya, bagi mencapai hasrat terbabit MARA akan menaja dan memberi peluang kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara.

Abd Rahim berkata, melalui program latihan kemahiran MARA lepasan sekolah boleh meneruskan pengajian kemahiran dan teknikal di peringkat sijil teknologi dan kejuruteraan di IKM dan juga peringkat diploma di KKTM bagi membantu mereka mengembangkan kemahiran teknikal masing-masing.

Beliau berkata, pelajar lepasan IKM berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti di dalam dan luar negara melalui kerangka sistem kemahiran dan teknikal.

"Ini kerana MARA menyediakan peluang pendidikan lengkap bermula di peringkat sijil sehingga pasca siswazah du UNIKL dan universiti luar negara.

"Selain kemahiran teknikal, pelajar juga diberi kursus intensif bahasa asing seperti bahasa Perancis, Jepun, Korea, Jerman dan bahasa Arab untuk pelajar yang akan dihantar ke negara berkenaan, begitu juga bagi pelajar yang dihantar ke Amerika Syarikat dan united Kingdom,"katanya.

Dipetik dari Berita Harian - 10/11/2011

No comments: