Followers

February 16, 2011

MARA tunggu perbincangan antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Mesir

Keadaan di sekitar penempatan pelajar Malaysia, Universiti Iskandariah dan Universiti Al-Azhar di Iskandariah kini tenang, tetapi masa yang sesuai untuk pelajar Malaysia kembali ke kota pesisir pantai itu belum diputuskan.

Pegawai MARA Mesir, Mhd Idris Masior, berkata kedudukan kira-kira 800 pelajar Malaysia tajaan MARA itu akan diputuskan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir.

"Program pengajian membabitkan pelajar Malaysia itu ialah program kerjasama antara dua kementerian terbabit....

"Walaupun Universiti Iskandariah akan dibuka awal bulan depan, program pengajian pelajar Malaysia boleh ditentukan dengan perbincangan dua kementerian itu," katanya kepada pemberita di Bangunan Asrama MARA Iskandariah, kira-kira 200 kilometer (km) dari utara Kaherah, semalam.

Mhd Idris berkata, perbincangan itu mungkin mengambil masa kerana Mesir kini berada di bawah pemerintahan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata sedangkan perbincangan sebelum ini membabitkan kementerian dalam kerajaan.

Beliau berkata, kakitangan MARA masih ditempatkan di Pejabat MARA Timur Tengah di Bangunan Asrama MARA Iskandariah dengan dibantu kakitangan rakyat tempatan.

"Keadaan sudah kembali seperti biasa dan setakat ini tiada masalah timbul terutama membabitkan keselamatan kakitangan," katanya.

Mhd Idris berkata, sepanjang proses pemindahan Operasi Piramid, seramai 2,239 pelajar dipindahkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Iskandariah ke Jeddah yang turut membabitkan pelajar Universiti Al-Azhar di Iskandariah, Damanhur dan Mansurah.

Katanya, beliau juga turut mengendalikan pemindahan pelajar dari Zaqaziq dan Tanta ke Kaherah.
Dipetik dari Berita Harian 16/02/2011.

No comments: