Followers

September 13, 2012

PM lawat Negeri Sembilan 29 September

SEREMBAN 12 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual berkunjung ke negeri ini pada 29 September ini iaitu sehari selepas pembentangan Bajet 2013.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kunjungan pemimpin nombor satu negeri itu merupakan siri jelajah Janji Ditepati di mana beberapa program diatur dan kemuncaknya pertemuan Perdana Menteri dengan rakyat.

"Bagi kita di Negeri Sembilan, lawatan ini merupakan pusingan terakhir Perdana Menteri ke negeri ini sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Jika pilihan raya umum diadakan lebih lama lagi, kita akan cuba membawa Perdana Menteri datang sekali lagi selepas ini untuk tujuan yang lain pula," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Ini kerana kata Mohamad, kerajaan negeri lebih fokus melalui perancangan jangka pendek ini di mana ia dibuat mengikut beberapa blok dengan setiap blok mengambil kira tempoh tiga bulan melakukan persediaan dan programnya.

"Dalam hal ini, lawatan Perdana Menteri pada 29 September ini telah pun masuk ke dalam blok awal dan jika tiada pilihan raya dalam tempoh tiga bulan selepas ini, maka kita akan masukkan lagi jadual Perdana Menteri ke negeri ini dalam blok berikutnya.

"Kehadiran Perdana Menteri boleh menaikkan semangat rakyat di negeri ini. Sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri ketika ini amat baik sekali," katanya.

Tambah Mohamad, antara program kecil yang disusun kelak ialah walkabout dan bersarapan pagi bersama rakyat, melancarkan Bandar Baru Sendayan di mana di situ akan diadakan cabutan undian tapak bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan SJK Cina serta program di Labu.

"Semua program ini akan diadakan di sekitar Seremban dan beberapa aktiviti lain akan diputuskan dalam waktu terdekat," katanya.

Dipetik dari Utusan Malaysia 13/09/2012

No comments: