Followers

September 26, 2012

Pelajar cemerlang KPTM ke United Kingdom

Enam pelajar cemerlang Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) muncul kumpulan pertama menerima Skim Pinjaman Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk meneruskan pengajian ke luar negara.

Salah Seorang penerima, Nurul Izzati Mohd Salwazi, 21, akan meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan selama dua tahun di Cardiff University, United Kingdom (UK).

Ketika di KPTM beliau menerima Anugerah Emas dan Anugerah Naib Conselor kerana mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88 ketika menamatkan Diploma Perakaunan.

Katanya, galakkan yang diberikan ibu bapanya, Mohd Salwazi Abdullah Sani dan Siti Aisah Adam@Rasul menguatkan lagi keyakinan untuk memohon tajaan berkenaan.

"Saya akui memang agak gementar kerana perlu berdikari. Namun, demi memenuhi impian melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mahu menjadi pendorong kepada adik-adik, saya cekalkan hati," katanya.

Hadir sama Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan.

Abdul Hashim Asy'arie Abdul Khalid, 21, pula teruja memperoleh peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti of Brunei, UK, bulan ini.

Graduan Diploma Sains Komputer itu mencatat PNGK 3.83 dan pernah aktif sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.

Katanya, resipi kejayaannya ialah rajin belajar dan pandai membawa diri walaupun berjauhan daripada keluarga.

"Insya-Allah, saya akan sentiasa menjaga nama baik diri sendiri, keluarga, KPTM serta nilai diri seorang rakyat Malaysia sepanjang belajar di sana.

"Saya ingin menempa kejayaan paling cemerlang," kata anak tunggal lelaki daripada empat adik beradik ini.

Penerima Anugerah Presiden yang memperoleh PNGK 3.70 untuk Diploma Komunikasi Korporat, Nurzafirah Aima Zulkifli, 21, mengucapkan terima kasih kepada pensyarah KPTM kerana sentiasa bersedia membantu pelajar.

Ditanya faktor pemilihan University of Glamorgan, UK sebagai universiti bagi melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Media, Budaya dan Kewartawanan, dia berpendapat universiti itu memenuhi minatnya untuk menimba ilmu lengkap selama tiga tahun lagi.

Dipertik dari Berita Harian 26/09/2012

No comments: