Followers

October 23, 2012

Beranikan diri buka bengkel

PALONG : Hanya bermodal ilmu yang dipelajari daripada seorang mekanik, seorang anak peneroka di sini, memberanikan diri untuk membina bengkel motosikal sendiri.

Mohd Zaim Hanapiah, 29, berkata, dengan berbekalkan modal RM10,000, dia nekad untuk bekerja sendiri walaupun tidak pernah mengikuti mana-mana kursus dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, dia mengakui bantuan daripada Felda dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberinya peluang dan banyak membantu perniagaannya.

"Saya diberi tapak sementara oleh Felda, iaitu sekitar tahun 2006, saya gunakan kemudahan itu sehinggalah ada projek pembangunan dilaksanakan dekat tapak berkenaan.

"Kemudian saya terfikir untuk kembangkan perniagaan, Saya cuba buat pinjaman pertama dengan MARA dan Alhamdulillah permohonan itu diluluskan.

"Selepas urusan pembayaran kali pertama diuruskan dengan baik, pihak MARA setuju memberikan pinjaman kali kedua berjumlah RM35,000," katanya.

Katanya, melalui pinjaman berkenaan, dia menggunakan duit itu untuk membaik pulih bengkel dan selebihnyamembuat modal pusingan.

"Sekarang, saya ada bengkel kimpalan dengan bantuan adik, Mohd Nazrin Hanapiah, 20, dan isteri, Amirah Alias, 23, dalam pengurusan bengkel.

"Bengkel saya yang terletak di Stesen Minyak Petronas, Felda Palong 16, berhampiran jalan Bandar Seri Jempol dan Muadzam Shah, dekat sini sering menjadi pilihan penduduk serta pengguna yang melalui jalan berkenaan," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Sementara itu, Pegawai MARA Daerah Jempol, Mohd Fadil Senan berkata, MARA bersedia membantu individu yang mahu menjalankan perniagaan.

"Kita akan bantu mereka asalkan berkelayakan serta memenuhi syarat yang ditetapkan.

"MARA juga beri bimbingan dengan menyediakan kursus yang bersesuaian kepada para usahawan ini bagi membolehkan perniagaan mereka berjaya," katanya.

Dipetik daripada Sinar Harian 23/10/2012

No comments: