Followers

January 12, 2011

MARA taja 25,000 pelajar bidang sains, matematik

BANGI : Seramai 25,000 pelajar akan ditaja Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam pelbagai bidang terutama sains dan matematik dalam usaha melahirkan lebih ramai Bumiputera yang cemerlang, termasuk profesional dan usahawan pada tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata daripada jumlah itu, MARA menyasarkan untuk menghasilkan termasuk 10,000 profesional, 500 orang pemimpin perniagaan dan awam, 500 orang teknoprenur serta 4,000 pelajar cemerlang.

Beliau berkata, ia sebahagian pelan perancangan pembangunan modal insan Bumiputera dengan bidang sains dan matematik akan diberi keutamaan semula.

"Tahun ini, saya ingin pastikan MARA menjadi peneraju pembangunan modal insan. Walaupun ia bidang utama MARA sejak dulu, ia perlu diperluaskan supaya dapat melahirkan modal insan yang benar-benar berkualiti," katanya pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan kementerian di sini, semalam.

Selain sektor pendidikan dan latihan kemahiran, Mohd Shafie turut menegaskan MARA perlu memperbaiki tiga lagi sektor utamanya iaitu keusahawanan, pelaburan dan pengurusan.
Dalam sektor keusahawanan, beliau mahu MARA mengkaji pelaksanaan program peruncitan Bumiputera seperti mengadakan kerjasama dengan syarikat pasar raya mega termasuk Giant, Tesco dan Mydin.

"MARA juga perlu melakukan transformasi menjurus ke arah status Bumiputera berpendapatan tinggi. Sektor keusahawanan sebenarnya menjadi tunjang utama dalam membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera dan perlu difokuskan kepada dua asas utama iaitu memperkasakan budaya usahawan dalam MARA dan penciptaan serta pembudayaan dan penjanaan jenama MARA," katanya.

Beliau berkata, MARA juga harus mewujudkan sektor pelaburan dengan mencari dan merangka pendekatan strategik dalam usaha mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang berkenaan.

"Kegagalan MARA merancang akan menyebabkan kaum Bumiputera menerima kesannya dan akan ketinggalan berbanding kaum lain," katanya.

Mengenai RISDA dan FELCRA, Mohd Shafie berkata, dua agensi berkenaan perlu memantapkan sistem penyampaian kepada pekebun kecil melalui beberapa usaha seperti pelaksanaan e-Tanam semula untuk mempercepatkan kelulusan Bantuan Tanam Semula, Semaian Transit dan Stor Pusat Baja bagi membekalkan benih dan baja berkualiti yang mencukupi pada masa ditetapkan.
Dipetik dari Berita Harian 11/01/2011

No comments: