KUALA LUMPUR : Semangat Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein perlu tersemai dalam diri setiap warga Majlis Amanah Rakyat (MARA) walaupun mereka generasi muda yang tidak pernah kenal erti kepayahan di awal kemerdekaan, demi kesinambungan kepemimpinan organisasi berkenaan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.
Katanya, semangat dan roh perjuangan itulah yang bakal menjadi pemacu MARA untuk terus relevan dalam memajukan Bumiputera di negara ini, terutama terbabit dalam transformasi negara.
"Kita mahu generasi pelapis ini mewarisinya dan atas dasar inilah MARA yang ditubuhkan pada 1965 perlu bertindak lebih agresif, konstruktif dan strategik dalam menguruskan sumber manusia.
"Selaras dengan moto 'Keusahawanan dan Pendidikan Global', di mana MARA bukan saja dikenali sebagai organisasi terunggul di negara ini, malah mahu menjadi organisasi global yang cekap," katanya pada teks ucapan yang dibacakan timbalannya, Datuk Hassan Malik sempena Malam Penghargaan dan Jamuan Tahunan MARA 2011 di sini malam tadi.
Hadir sama Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad serta pengurusan kanan MARA.
Shafie berkata, mengenai persaraan kakitangan, MARA dilihat mempunyai pelan penggantian yang teratur walaupun arah aliran pada tahun ini hingga 2015, menyaksikan 878 orang bersara wajib termasuk kumpulan Gred 54 dan JUSA yang juga perancang utama organisasi berkenaan.
Dipetik dari Berita Harian 08/12/2011
No comments:
Post a Comment