Followers

December 08, 2011

1.4 juta kakitangan awam sambut baik SBPA

PUTRAJAYA : Kajian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diterima baik oleh hampir 1.4 juta kakitangan awam kerana menawarkan faedah dan insentif baru termasuk skim gaji serta prospek perjawatan yang lebih baik.

Sehubungan itu, jabatan menjangkakan hampir semua kakitangan akan memilih bertukar daripada Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada SBPA yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari tahun depan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata, sebagai contoh, kakitangan awam Gred N11 akan menerima faedah kenaikan gaji 10.5 peratus, Gred U17 (10.9 peratus), Gred N27 (9.7 peratus) dan Gred J41 (9.5 peratus).

Abu Bakar berkata, kakitangan awam diberi tempoh bermula 16 Disember hingga 30 Disember untuk memilih sama ada kekal dalam SSM atau bertukar kepada SBPA dan tidak boleh menukarnya selepas tarikh itu.

Menerusi SBPA, hierarki perkhidmatan awam akan mempunyai empat kumpulan, iaitu Kumpulan Primier yang menerima peruntukan gaji secara 'single point' tanpa kenaikan gaji tahunan, Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang menerima konsep gaji minimum-maksimum dengan kenaikan gaji tahunan mengikut pencapaian prestasi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana (menggantikan Kumpulan Sokongan) yang kedua-duanya menerima peruntukan gaji sebaris dan tangga gaji untuk kenaikan gaji tahunan.

Beliau berkata, skim itu turut membabitkan kenaikan gaji setara dengan gred kenaikan pangkat walaupun tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong bagi pegawai yang diiktiraf sebagai pakar dalam sesuatu bidang.

SBPA juga memperkenalkan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PPROSPEK) mengandungi dua komponen, iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) sebagai mekanisme penilaian.

Dipetik dari Berita Harian 08/12/2011

No comments: