Followers

October 14, 2011

Kerajaan Keluar Pekeliling Urusan Rasmi Penjawat Awam Mesti Guna Bahasa Kebangsaan

DURIAN TUNGGAL : Semua penjawat awam diwajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan termasuk ketika bermesyuarat, surat-menyurat atau seminar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan itu bagi memantapkan peranan bahasa melayu selain memperkasakannya sebagai bahasa ilmu.

"Bagi memastikan arahan itu dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Beliau berkata, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting memperkasakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan syarikat.

"GLC sewajarnya mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang berkaitan perbankan, kewangan, perdangangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain perkhidmatan," katanya.

Katanya, Malaysia wajar mencontohi sikap beberapa negara maju dan sedang berkembang maju yang tidak meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing, meskipun masih mementingkan penguasaan bahasa inggeris.

Malah, katanya, daripada lapan ekonomi gergasi dunia iaitu negara G7, dan China, hanya tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa inggeris. Rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis manakala di United Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish.

"Di Brazil, Russia, India dan China (BRIC) iaitu negara yang berada pada tahap kemajuan ekonomi paling rancak, hanya India tidak mengekalkan bahasa sendiri. Kebanyakan negara Nordik yang maju, juga mengekalkan bahasa masing-masing.

"Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian Baru Asia Timur, hanya Singapura tidak mengekalkan bahasa ibunda. Jika kita teliti perkembangan negara-negara berkenaan, kita dapati bahasa inggeris adalah bahasa penting tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan.

"China tidak menjadikan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa kebangsaan mereka dan menghormati bahasa kebangsaan negara lain," katanya.

Sempena majlis itu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) China, Profesor Wu Zongyu dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa sekaligus menerima hadiah wang tunai RM50,000, watikah penghormatan negara dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; Exco kerajaan negeri mewakili Ketua Menteri, Datuk Gan Tian Loo dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Muhyiddin juga mengumumkan penyediaan dana kerajaan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak RM2 juta untuk menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa melayu.

Setiap penulis yang menghasilkan buku jenis berkenaan yang diterbitkan oleh DBP akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. DBP akan menentukan karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis berjaya.

Sementara itu, Rais berkata, menteri, timbalan menteri serta pemimpin pada peringkat negeri digalak bertutur dalam bahasa melayu ketika menyampaikan ucapan di samping berusaha memberi pesanan ringkas mengenai kepentingan masyarakat mempertahankannya sebagai bahasa rasmi negara.
Dipetik dari Berita Harian - 14/10/2011

No comments: