Followers

March 09, 2011

MARA bangun hartanah RM300j

MARA akan melaksanakan projek pembangunan hartanah bercampur bernilai RM300 juta di Persiaran Gurney, Kuala Lumpur.

Projek pertama di bawah program menjana nilai aset-aset yang dimiliki agensi itu, akan dilaksanakan Symbolic Aveneu Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama antara MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) dengan syarikat pembangunan hartanah, ZIKAY Group Sdn Bhd....

Dikenali sebagai Gurney Avenue, ia akan mengandungi unit kediaman dan ruang peruncitan komersial, dengan jumlah keluasan
lantai 63,732 meter persegi.

Selain bertujuan menjana nilai daripada aset dimiliki MARA bagi membolehkannya menanbah dana bagi menggiatkan lagi perlaksanaan pelbagai program memperkasakan ekonomi Bumiputera, pembangunan projek itu juga bakal menyediakan ruang perniagaan baru untuk peniaga golongan berkenanan.

"Kami yakin pembangunan yang dijangka bermula dalam masa enam bulan ini akan memberikan pulangan serta aliran tunai kepada MARA yang boleh disalurkan bagi melaksanakan pelbagai program yang diatur demi mencapai aspirasi dan tujuan penubuhannya.

"Ruang perniagaan yang ditawarkan projek ini pula akan menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera melonjakkan nilai ekonomi perniagaan dan menjadi mercu tanda kebanggaan Bumiputera dan MARA," kata Pengerusi MARA Inc, Datuk Mohd Lan Allani pada majlis memeterai perjanjian usaha sama itu di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Mohd Lan mewakili MARA Inc, manakala ZIKAY Group oleh Pengarah Urusannya Datuk Mohd Khay Ibrahim. Majlis berkenaan disaksikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

MARA Inc ditubuhkan MARA pada 1 Mac 2008 bermatlamat mengembangkan pemilikan Bumiputera dalam ekonomi dan membolehkan Bumiputera menceburi bidang baru bagi mempercepatkan usaha pembentukan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

ZIKAY Group yang ditubuhkan sejak 1991 dengan modal berbayar RM35 juta setakat ini sudah menjalankan pelbagai projek pembinaan dan pembangunan hartanah bernilai lebih RM1 bilion.

Dipetik dari Berita Harian 09/03/2011

No comments: