KUALA LUMPUR : "Saya bersama Asyraf dikepung sekumpulan perusuh, tetapi dia cuba meneruskan perjalanan ke rumah seorang senior untuk berbuka puasa. Namun, saya sempat berpatah balik menaiki basikal," kata Sheikh Muhammad Faris Jamil Azhar, 20, rakan karib Asyraf Haziq Rosli, pelajar yang cedera diserang dalam rusuhan di London, kelmarin....
Sheikh Muhammad Faris berkata, kejadian berlaku jam 7.15 malam ketika mereka menaiki basikal dari rumah di hartslane, sebelum tiba-tiba terserempak dengan perusuh yang jumlahnya terlalu ramai.
"Asyraf menunggang basikal di depan saya cuba meneruskan perjalanan tetapi diserang dan saya dapat melihat dia dipukul. Saya pula ditahan sekumpulan perusuh yang merampas telefon bimbit, namun mereka mencampaknya selepas mendapati ia bukan jenis yang mahal," katanya ketika dihubungi di London malam tadi.
Sheikh Muhammad Faris berkata, selepas diserang, Asyraf Haziq dibantu oleh orang awam yang kemudian menghubungi seorang lagi rakan mereka sebelum dia dibawa ke hospital untuk rawatan.
Beliau juga berkata, pegawai MARA sudah mengambilnya bersama beberapa rakan lain untuk tinggal sementara di pejabat MARA di London sehingga keadaan di kota berkenaan tenang.
Sementara itu, ibu mangsa, Maznah Abu Mansor, guru sekolah swasta di Cheras, berkata beliau mengetahui kejadian jam 9 pagi semalam, selepas dihubungi seorang pegawai MARA di London, tetapi menyangkakan anaknya cedera diserang samseng.
Katanya, bagi mendapat kepastian, cuba menghubungi seorang lagi pegawai MARA di London tetapi tidak berhasil, menyebabkannya menelefon rakan Sheikh Muhammad Faris.
"Barulah saya tahu dia diserang sekumpulan lelaki ketika rusuhan di London. Saya sedih dengan apa yang berlaku terutama apabila mendapat tahu giginya patah serta pipinya bengkak," katanya.
Dipetik dari Berita Harian 10/08/2011
No comments:
Post a Comment